Thursday, 2 May 2013

copy and paste

TTC? Berdosakah saya?


Sebelum saya teruskan entry ini, saya ingin memohon maaf jika setiap kata dan ayat dalam entry ini bakal menyentuh sensitiviti kalian. Saya pohon seribu kemaafan kerana rasanya inilah kali pertama saya menaip entry seserius ini tentang perjalanan TTC saya.

 
Assalammualaikum w.b.t


Sejak saya bersalinkan Najla hampir 2 tahun lepas, saya masih lagi berTTC sehingga kini. Tiada rasa bosan, putus asa dan jemu dalam menanti kelahiran seorang zuriat apatah lagi Najla kini sudah tiada. Saya tidak merancang dan tidak pernah berhenti berdoa. Saya yakin Allah SWT sudah aturkan yang terbaik untuk kami. Dari sebulan, ke setahun, dan kini sudah hampir dua tahun, saya masih terus berusaha dan menanti. Entah bila, saya tidak pasti. Sama seperti manusia yang menanti mati, tidak tahu bila penghujungnya. Dalam pada itu, persediaan menghadapi mati itu yang saya perlu fikirkan dan utamakan. Hidup ini amat singkat. Saya tidak boleh persiakan persinggahan di dunia yang sementara. Semua yang saya ada di dunia ini hanya pinjaman dari-Nya. Seperti mana Allah pinjamkan kepada saya kedua ibu bapa yang saya cintai dan Najla yang dirindui. Apa saya bisa menghalang setiap barang yang dipinjamkan kepada saya kembali kepada tuannya? Tentu tidak bukan. Suka atau tidak, saya perlu pulangkan jua sesuatu yang bukan milik saya.

 
Sama juga dalam berTTC. Satu perkara yang paling saya syukuri ialah kesihatan yang Allah masih pinjamkan kepada saya. Perjalanan saya menempuh hidup sebagai seorang manusia tidaklah semudah yang disangka. Apatah lagi perjalanan untuk menjadi seorang ibu. Hanya mereka yang benar-benar akrab dengan saya sahaja yang tahu betapa saya telah melalui ranjau yang penuh liku selama ini. Dan hakikatnya, tidak semua orang tahu tentang saya waima pernah sebantal dan sekatil dengan saya. Hanya suami, keluarga dan sahabat tertentu yang membesar bersama sahaja tahu siapa saya. Kerana itu, kelompok orang yang menyayangi saya ini jarang sekali atau hampir tidak pernah bertanya bilakah saya akan mempunyai waima seorang zuriat. Kerana melihat saya masih mampu berdiri dan tersenyum sudah cukup membahagiakan mereka.

 
Mengapa saya menulis entry ini? Kerana acapkali saya menerima comment dan email yang mendorong dan memotivasikan saya berbanding soalan "Dah mengandung?", "Dah ada dah?", "Bila lagi?". Saya bersyukur, kerana dunia tanpa sempadan ini telah menemukan saya dengan insan-insan yang begitu telus yang sudi mendoakan saya dan melihat perjalanan hidup saya tanpa jemu walau saya dan mereka tidak pernah kenal sama sekali apatah lagi bersua muka. Kadangkala saya berasa dunia ini begitu aneh. Adakalanya manusia yang kita rasakan akrab hanya mampu berada di sisi dalam dua kemungkinan: 1. Mampu sedih bersama tetapi tidak mampu rasa bahagia ketika kita bahagia. 2. Mampu ketawa bersama tetapi tidak mampu berada di sisi ketika kita amat memerlukannya. Kesedihan yang saya lalui sebelum ini telah menemukan saya dengan puluhan ibu-ibu prihatin di luar sana. Tidak kiralah jika kalian seorang TTCian malah seorang ibu, kalian tetap ibu pilihan Allah yang teristimewa. Mengapa saya bilang sedemikian? Kerana rata-rata pembaca blog ini pernah melalui pengalaman seserupa saya (sebagai seorang TTCian, seorang ibu, bakal ibu, seorang ibu bayi pramatang dan ibu bidadari syurga) dan pastilah kalian mencari sesuatu. Saya yakin dan percaya, setiap kali butang SEARCH pada Google ditekan, pasti bertujuan untuk menambah ilmu dan menghurai persoalan di minda. Ilmu itu satu hidayah. Dan hanya hamba Allah yang terpilih dibukakan hatinya untuk mencari hidayah itu.

Saya selalunya cuba berkongsi pengalaman serba sedikit mengandungkan Najla di blog ini. Sebagai kenangan dan hadiah buatnya juga. Untuk mendapat Najla pun saya tunggu hampir setahun, dan kini saya masih lagi menanti. Kadang-kadang, saya rasa tidak layak berkongsi ilmu yang sedikit cuma kerana saya juga masih berTTC. Tapi, saya yakin dan percaya, ilmu Allah ini perlu disebarkan. Walaupun sedikit, mungkin sangat bermakna buat mereka di luar sana. Paling penting, saya suka memotivasikan diri saya sendiri agar tidak terlalu tertekan dengan pandangan masyarakat luar.

Apakah saya tidak tertekan dengan soalan-soalan tentang bilakah saya akan mendapat anak?

Selalunya begini, saya akan melihat siapa yang bertanya. Jika orang yang bertanya itu belum berkahwin, saya akan menganggap dia belum mengerti makna perkahwinan. Dan selalunya, saya akan memberi jawapan yang menyenangkannya. Apa sahaja yang boleh menjawab pertanyaannya itu.

Jika orang itu telah berkahwin, saya akan melihat sama ada dia mudah atau tidak untuk hamil. Jika dia mudah hamil, saya akan melihat pada pasangannya. Apakah pasangannya seorang yang sangat memahaminya? Memahami pengorbanan dalam berumahtangga? Jika suaminya kurang memahaminya, saya rasa kerana itu mereka lebih sibukkan hal orang lain berbanding membahagiakan diri sendiri. Mungkin melihat orang lain belum ada anak sudah 'melegakan' bila terasa ada kurang dalam resam hidup suami isteri. Dan saya akan memberi jawapan natural yang menyenangkannya kerana saya tahu saya perlu bersyukur mempunyai seorang suami yang sangat memahami saya. Kebahagiaan saya biarlah saya seorang yang tahu akan ertinya.  

Dan jika yang bertanya itu masih belum hamil, saya akan minta dia lihat apa yang dia masih ada? Selalunya golongan TTCian dikurniakan seorang suami yang sangat penyayang, sanggup berkorban apa sahaja dan susah payah hidup bersama. Saya akan minta mereka bersyukur dahulu dengan jodoh pilihan mereka yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Kemudian, barulah saya akan memberi jawapan tentang perjalanan TTC saya supaya dapat menenangkannya dan menjadikannnya seorang yang positif dalam mencari makna dan redha rumah tangga.

Jadi, tertekankah saya? Sebenarnya, saya sudah jarang mendapat soalan sebegini. Saya lebih banyak menerima kata-kata dan doa yang sangat positif. Saya boleh kira dengan jari, berapa orang sahaja yang bertanya soalan itu sejak Najla meninggal dunia. Jadi, saya tidak mahu ambil endah tentang persoalan yang saya anggap remeh. Saya cuma fikir positif, mereka bertanya kerana mahu ambil berat dan cuba tahu perkembangan hidup saya. Mungkin kerana, saya begitu 'sepi' sejak tidak punya akaun facebook. Sejak saya deactivate facebook, saya telah jumpa kawan yang sebenar. Kawan-kawan yang masih tetap mencari saya dengan apa cara sekalipun, dan setia bertanya khabar sehingga ke hari ini. Itu sudah cukup melegakan.

Ibu mertua saya selalu berpesan, ingat 5 perkara sebelum 5 perkara. Salah satunya, masa lapang sebelum sempit. Saya pernah juga bertanya soalan sebegini pada kedua ibu bapa mertua saya, "Mak, ayah, nadia boleh mengandung lagi tak?" Dan reaksi mereka sebenarnya cukup tidak menyenangkan dengan soalan saya itu. "Insya-Allah, nadia boleh mengandung lagi, anak-anak nadia lepas ni sihat-sihat. Tapi Allah belum nak bagi sekarang. Sebab Dia nak bagi nadia rehat dulu, sambung belajar. Allah tengah bagi masa lapang, bersyukurlah. Anak-anak nadia nanti memang nak disayangi sangat-sangat. Jadi, Allah belum nak beri dulu supaya nadia capai cita-cita dulu." Masa ibu bapa mertua saya bilang sedemikian, saya belum lagi nak sambung belajar, cuma dah ada impian. Dan saya tak pernah beritahu mereka tentang impian yang saya rasa belum pasti lagi. Rupanya, Allah dah atur jalan yang terbaik untuk saya kan? Takdir untuk saya sambung belajar telah tiba. Jadi, mengapa saya perlu persiakannya?

Jadi, berdosakah saya kerana belum ada anak? Saya yakin dan percaya, Allah telah kira segala penat lelah dan usaha saya selama ini. Mungkin saya tidak mendapatnya di dunia, tapi Allah tangguhkan dan berikannya kepada saya di akhirat. Siapa tahu, bukan?

Untuk para pembaca sekalian, hentikanlah bertanya soalan-soalan yang bakal menyentuh sensitiviti orang lain. Jadilah orang yang bahagia kerana hanya orang yang bahagia mampu melihat orang lain bahagia. Kebahagiaan itu subjektif, tidak dapat dibandingkan dengan nilai materialistik atau bilangan anak. Malah, mereka yang tidak dikurniakan anak ini, sudah dijanjikan Allah, bahawa Rasulullah SAW akan menanti mereka di syurga. 

Untuk kalian yang masih berTTC, pasti telah banyak usaha dan ikhtiar yang tidak pernah putus.  
Selain berdoa, tanya kembali diri, mahukan zuriat untuk apa? Adakah kerana pandangan dunia luar kepada kita atau kerana kita mahu menggalas amanah Allah SWT? Manusia mudah tertekan jika terlalu memikirkan dunia luar berbanding dunia dalaman. Kita tidak mahu melahirkan anak semata-mata melihat orang lain mempunyai anak tetapi kita melahirkan anak bertujuan untuk mendapat pencen kubur kita dan menyebarkan agama Allah SWT (Prof Dr Muhaya, Celik Mata Reset Minda).

Lihat kembali diri, apakah kita mahukan anak yang bakal menjadi pahala jariah atau dosa jariah setelah kita mati nanti. Pasangkan niat untuk jadi ibu solehah dan mendapat anak yang soleh dan solehah mulai hari ini.

Wallahua'lam.
p/s : ini bukan karangan aku...tapi salah seorang kwn maya aku...(copy and paste)

6 comments:

  1. hijau kelabu mata jadinya....pesanan buat diri ku yg serba x sempurna..thanks lily

    ReplyDelete
    Replies
    1. tula...sakit pulak terang sgt ijaunye...hehe...welcome my dear nisae

      Delete
  2. perkongsian yg menarik & bermanfaat.. nice sharing dear..

    ReplyDelete
    Replies
    1. bila baca rase terbuai2...kan...pandai betul ummi najla mengarang...ma lily ni bab karangan memang fail...hehe

      Delete
  3. Yeap...lisa ada bc kt blog uminajla... Da lm juga ma lily x update ye..hee

    ReplyDelete
    Replies
    1. tu la kan...nati ma lily updated blog ek...skrg ni sibuk berkempen...kikiki...yb la katekan...hehe

      Delete